Profile

Dr Irma Shida Binti Abu Samah

PENGARAH
KLINIK PERGIGIAN IRMA ARIANDI
LOT 1-24 & 1-25, TINGKAT 1, PLAZA LARKIN,
JALAN GARUDA, 80350
JOHOR BAHRU, JOHOR

PENGARAH
IRMA ARIANDI GLOBAL SDN BHD
L1-10, ARAS 1, GALLERIA@KOTARAYA
JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU

PENGARAH
IRMA ARIANDI ENTERPRISE
L1-10, ARAS 1, GALLERIA@KOTARAYA
JALAN TRUS, 80000 JOHOR BAHRU

PEMILIK
DR. IRMA ENTERTAINMENT

DR. IRMA SHIDA BINTI ABU SAMAH

Dr. Irma Shida binti Abu Samah dilahirkan di Johor Bahru pada 7 April 1980. Beliau adalah anak sulung dari 5 adik beradik dan dibesarkan di Johor Bahru.

Memulakan persekolahan di Sekolah Rendah (P) Sultan Ibrahim dan seterusnya ke Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim Johor Bahru. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi (UKM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan seterusnya memasuki Fakulti Pergigian di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1999. Pada tahun 2003 beliau telah menamatkan pengajian di UKM dengan mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

Setelah tamat pengajian di universiti, beliau memulakan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan Pada tahun 2007, beliau memulakan perniagaan sendiri dengan membuka Klinik Pergigian Irma Ariandi di Plaza Larkin, Johor Bahru.

Pada tahun 2008 beliau telah memenangi Anugerah Usahawan Muda MARA peringkat negeri Johor, berkat kesungguhan beliau dalam perniagaan. Anugerah itu menjadi pemangkin untuk beliau mengukuhkan kedudukan beliau sebagai doktor gigi swasta di Johor Bahru dengan pelanggan yang datang dari seluruh Malaysia, Indonesia dan Singapura untuk mendapatkan rawatan daripada beliau. Pada tahun 2017, beliau sekali lagi dicalonkan untuk anugerah usahawan MARA peringkat kebangsaan kategori Usahawan Wanita Berjaya.

Dengan berbekalkan semangat untuk memajukan diri dan minat mendalam dalam bidang estetik, Dr. Irma menubuhkan syarikat Irma Ariandi Enterprise, yang menghasil, mengedar dan menjual produk kosmetik dan penjagaan kulit jenama DR. IRMA bermula pada tahun 2015.

Beliau aktif menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R & D) bersama ahli kimia berdaftar dan berkerjasama dalam memformulasi kosmetik dengan kilang bertaraf GMP. Gabungan usaha tersebut telah menghasilkan rangkaian penjagaan kulit dan produk kosmetik yang menggunakan bahan semulajadi dengan memanfaatkan kebaikan minyak pati dan ekstrak tumbuhan.

Memulakan penjualan produk DR.RMA secara online di media sosial seperti facebook dan instagram, Dr. Irma bertekad untuk menjadikan produk jenamanya lebih releven dan dikenali ramai. Dengan itu, beliau telah merealisasikan butik retail bagi penjualan rangkaian produk DR.IRMA supaya pelanggan boleh datang ke kedai dan melihat, mencuba dan seterusnya memiliki produk beliau. Dengan itu, wujudlah butik DR.IRMA SKINCARE & COSMETICS di L1-10, Galleria@Kotaraya, Jalan Trus, 80000 Johor Bahru, Johor.

Tidak hanya memfokuskan kepada pemasaran produk DR.IRMA di dalam negara, beliau telah memulakan langkah ke pasaran global dengan tertubuhnya IRMA ARIANDI GLOBAL SDN BHD pada 1 Ogos 2017. Selaku Pengarah dan pemegang saham terbesar syarikat ini, Dr.Irma berusaha dengan serius untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan bantuan, sokongan dan bimbingan dari badan-badan kerajaan dan NGO yang berkaitan. Dengan sasaran menembusi pasaran Brunei, Indonesia dan Singapura dalam tahun 2018, beliau optimis dalam usaha beliau

Selain daripada menguruskan dua perniagaan ini, Dr. Irma juga adalah penulis tetap untuk segmen kesihatan di akhbar Mingguan Malaysia sejak pertengahan tahun 2016. Artikel penulisan beliau mendapat reviu dan reaksi positif daripada pembaca-pembaca yang mengikuti segmen tersebut.

Dr. Irma juga tidak melupakan perihal kebajikan orang-orang yang kurang berkemampuan. Beliau telah menubuhkan tabung “Bakti Irma Ariandi” dengan menyumbang RM1 dari setiap jualan produk DR.IRMA ke dalam tabung tersebut. Kutipan akan di agihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan bagi membantu meringankan beban. Dengan cara itu, bagi setiap pembelian produk DR. IRMA pembeli akan secara tidak langsung beramal dengan menderma ke arah kebaikan.

Sehingga kini, banyak keluarga dan badan kebajikan yang telah menerima bantuan daripada tabung “Bakti Irma Ariandi”. Rakaman penyerahan cek bantuan kepada penerima-penerima di Selangor telah disiarkan dalam program ‘Ceritaku’ terbitan Salam HD HYPPTV, RTM dan juga di dada akhbar. Ini membuktikan Dr. Irma amat serius dalam kerja-kerja amal berkaitan kebajikan mereka yang kurang berkemampuan dan beliau komited untuk mengagihkan kutipan daripada jualan produk kepada mereka yang memerlukan. Selain itu beberapa akhbar tempatan juga terlibat untuk membuat liputan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dari tabung ini.

Dari segi penjenamaan DR. IRMA sendiri telah menaja program realiti MENTOR MILENIA 2017, astro MELETOP dan juga sering muncul di program Television RTM dan TV3 sebagai tetamu mengisi slot kecantikan dan kesihatan dengan niat memberi kesedaran pada orang awam tentang pentingnya menjaga kesihatan gigi dan mulut serta memberi kesedaran tentang bahaya produk kosmetik tidak berdaftar dan bersulam bahan kimia.

Pada Julai 2017, Dr. Irma meluaskan kreativiti dan mencabar potensi dirinya sekali lagi dengan penubuhan Dr. Irma Entertainment pada 2017 yang merupakan label music tempatan yang beraspirasi untuk mewarnakan dan memeriahkan industri muzik tempatan. Beliau, melalui Dr. Irma Entertainment telah melibatkan diri dalam pembikinan dan penerbitan lagu, penghasilan melodi dan juga penulisan lirik serta penghasilan muzik video. Bagi mengukuhkan strategi pengedaran dan penyebaran beliau telah berkolaborasi dengan Warner Music Malaysia dan melantiknya sebagai pengedar lagu-lagu terbitan Dr. Irma Entertainment.

Bermula dengan Zarol Zharif (AF2017) sebagai artis residen syarikatnya, beliau berkolaborasi dengan komposer tanahair menghasilkan lagu Bidadari yang telah dilancarkan pada 7 Oktober 2017. Single ini mendapat respons positif dan telah diputarkan di radio tempatan serta boleh dimuatturun dari semua platfrom CDbaby seperti spotify dan itunes.

Bagi tahun 2018 Dr. Irma Entertainment telah memperkenalkan 3 lagi artis baru di bawah naungannya. Setiap artis residen yang ditampilkan oleh syarikat ini mempunyai genre, latarbelakang dan pengalaman yang berbeza yang pasti akan memberi kelainan kepada persada musik tanahair. Ash Hafiz, Ray Asri dan AyaSofia merupakan penyanyi-penyanyi berbakat yang telah diberi kepercayaan oleh Dr. Irma Entertainment untuk menyanyikan dan merakam lagu-lagu ciptaan sepenuhnya oleh Dr.Irma sendiri. Selain itu Dr. Irma Entertainment juga telah bekerjasama dengan satu nama besar dalam industri muzik iaitu Ferhad untuk menyanyikan dan merakam lagu ciptaan sepenuhnya oleh Dr.Irma juga bertajuk Defiinasi Cinta yang dilancarkan pada 7 Februari 2018.