Belum Rainforest Resort Buat Pencinta Kedamaian

Percutian dalam negara sebenarnya tidak kurang hebatnya dengan percutian ke  luar negara.  Bahkan, kadangkala pengalamannya lebih berharga.

Bagi yang sedang mencari lokasi persembunyian daripada hiruk pikuk kota, apa kata anda ke Hutan Simpan Royal Belum atau ke Tasik Banding, Perak.

Di sini anda boleh menginap di Belum Rainforest Resort.  Hotel bercitarasa mewah ini menjanjikan sebuah percutian yang cukup mendamaikan.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang cintakan kehijauan alam. Malah, juga sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu.

Untuk ke resort yang menjadi gerbang kepada Hutan Simpan Royal Belum ini, anda perlu memandu kira-kira lima jam dari Kuala Lumpur.

Memang agak memenatkan, tetapi percayalah sebaik sahaja melintasi Tasik Temenggur yang menjadi latar alam di sini, hati akan berbunga riang.   

Menawarkan tujuh jenis penginapan bercitarasa mewah termasuk villa, Belum Rainforest Resort turut dilengkapi dengan kemudahan bertaraf lima bintang yang lain seperti bilik seminar, kolam renang, kafe untuk menjamu selera dan tidak ketinggalan Puteri Dewi Spa.   

Bagi yang bercadang untuk berbulan madu, bolehlah menginap di Traditional Chalet atau Kampung House. Ini kerana penginapan ini punya pemandangan alam mengasyikkan. 

Tasik Temenggor terbentang di depan mata. Sambil menyulam cinta, boleh mengabadikan potret-potret romantik untuk dibawa pulang sebagai kenangan.  

Tentang  harga usah bimbang kerana ianya berbaloi. Lebih-lebih lagi jika di sini pada hari-hari bekerja.

Puas bermalas-malasan di bilik, boleh luangkan masa di kolam renang ataupun buat rawatan di Puteri Dewi Spa.

Ada pakej untuk pasangan yang berharga RM300. Pakej yang mengambil masa satu jam setengah ini terdiri daripada rawatan spa kaki dan juga urutan badan Tradisional Bali.

Jika berminat untuk meneroka Hutan Belum dan kawasan sekitarnya, pihak hotel juga ada menyediakan beberapa pakej menarik untuk disertai. Antaranya ialah Discover Belum, Temenggor Walk, Discover Lower Belum, Round Island Cruise, dan Rafflesia Walk.

Untuk maklumat lanjut tentang Belum Rainforest Resort boleh layari laman sesawang mereka di http://www.belumresort.com

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.