Berhenti Berfikir ‘Gaji Tak Pernah Cukup’

“Gaji saya tak pernah cukup, ada saja belanja yang perlu saya keluarkan setiap bulan.

Biarpun saya mempunyai pendapatan sebanyak RM4000 sebulan, tapi saya masih rasakan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung kehidupan saya.

“Gaji saya ini hanya cukup-cukup untuk bayar ansuran rumah, kereta, bil-bil lain, makan di restoran dan membeli kelengkapan diri. Apa saya perlu buat!

Persoalan sebegini bukan anda seorang sahaja rasakan. Ramai di antara kita sering terjebak dengan persoalan yang sama. Ia tidak mungkin ada jawapannya seandainya anda tidak mencari penyelesaiannya sendiri.

Hidup dengan berfikir ‘gaji tak pernah cukup’ sebenarnya akan mempengaruhi psikologi anda dan sekali gus akan menghalang anda untuk mencari jalan penyelesaian.

Sebelum mengenal pasti cara penyelesaian lain, terlebih dahulu anda haruslah mengenal pasti corak kehidupan anda terlebih dahulu.

Corak kehidupan adalah pengaruh yang cukup kuat dalam menentukan cara berbelanja anda. Harus diingat, biar setinggi mana pun gaji yang anda terima, jika tidak pandai menguruskannya anda pasti akan menemui kegagalan.

5 Tip Capai Kewangan Maksimum

1) Jangan bandingkan diri dengan orang lain

 Melihat rakan baik atau saudara anda memiliki sebuah rumah semi D dua tingkat, sebuah kereta import dan mampu melancong ke luar negara setiap tahun, menyebabkan anda merasakan perlu menjadi sepertinya.

Sedangkan pada hakikatnya, kemampuan anda tidak boleh mencapai sehingga ke tahap itu.

Biarpun kita mempunyai sumber pendapatan yang sama, corak kehidupan dan faktor tanggungan kita tidak pernah sama. Berhenti membuat perbandingan antara anda dengan orang di sekeliling anda.

2) Elak berbelanja melebihi kemampuan

Gaji anda baru sahaja mencecah RM3,000 pada tahun ini. Tetapi corak berbelanja anda umpama menerima gaji RM4,000. Mana mungkin untuk anda mencapai kewangan yang maksimum sekiranya anda berbelanja melebihi kemampuan.

Setiap kali mahu berbelanja, fikirkan adakah wajar anda membeli barangan tersebut?

Jika keadaan demikian, usah merungut ‘gaji tak cukup’ kerana anda sendiri yang mencari masalahnya.

Tidak salah untuk anda meningkatkan taraf hidup anda, namun ia haruslah mengikut pengaliran berdasarkan ‘jadualnya’.

Hidup mengikut corak gaji yang tepat mampu mengelakkan anda daripada terjebak dengan hutang.

3) Belajar menghargai apa yang ada

Umpamakan anda memiliki satu mesin pembuat kopi yang mengeluarkan satu isi padu air ke dalam cawan.

Jika anda menggantikan cawan tersebut dengan mug yang lebih besar, isu padu air yang dikeluarkan mesin itu tetap sama tetapi tidak dapat memenuhi mug anda.

Mug yang tidak penuh ini membuatkan anda merasakan ia seolah-olah tidak cukup dengan keperluan anda. Apa yang anda lihat ini umpama kehidupan anda.

Mug yang besar tidak mungkin boleh dipenuhi seandainya telah mencapai tahap tertentu iaitu hanya apa yang anda miliki. Jadi belajarlah untuk menghargai apa yang anda miliki dan usah dikejar apa yang tidak mungkin anda peroleh.

4) Gunakan penilaian secara bijak

Penilaian seseorang terhadap corak kehidupan sememangnya berbeza antara satu sama lain. Mengawal perbelanjaan bukan bermakna anda perlu mengurangkan apa yang anda miliki secara total.

Lihat hanya perkara yang difikirkan perlu untuk dikurangkan misalnya corak berbelanja mewah anda dan aktiviti riadah yang memerlukan belanja yang tinggi.

Kurangkan makan di luar, sebaliknya masak sendiri

Semua ini menuntut pemikiran yang sihat untuk anda membuat penilaian tepat.

Mengurangkan bukanlah bermakna anda perlu menjual kereta yang anda miliki sedangkan anda tidak punyai kenderaan lain untuk bergerak.

5) Cari alternatif

Belajarlah untuk mencari alternatif lain bagi menggantikan sesuatu yang ingin anda miliki. Misalnya anda inginkan sebuah motosikal untuk memudahkan anda berulang-alik ke pejabat.

Impian anda semestinya untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi berjenama Ducati.

Namun untuk memilikinya pasti memerlukan jumlah wang yang bukan sedikit. Justeru, cari alternatif lain bagi menggantikan jenama Ducati mengikut kesesuaian taraf hidup anda misalnya, memilih motosikal berkuasa 150cc dengan harga yang lebih rendah.

Bukankah pilihan ini lebih baik biarpun ia tidak seperti anda impikan? Tujuan anda memiliki motosikal hanyalah untuk memudahkan perjalanan anda ke pejabat bukannya untuk kelihatan gah di mata orang.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.