Zahiril Adzim Rindu Watak Antagonis

Dia bukan calang-calang pelakon, beri apa sahaja watak sudah pasti dia mampu membawakannya dengan sehabis baik.

Mempunyai lulusan kolej Aswara, bakat pelakon bernama Zahiril Adzim ini sememangnya menjadi perhatian penonton. Namun ada ketikanya, nama itu seakan tiada dalam ruangan seni, ke mana sebenarnya Zahiril bersembunyi atau dia lebih selesa muncul sekiranya naskhah yang diberikan dengan jiwa?

“Sudah lama tak berpeluang pegang watak antagonis. Menunggu juga, tapi tak ada yang mengajak. Kalau ada, sudah tentu saya tak tolak. Rindu juga dengan watak antagonis.

 “Selepas diberi peranan baik dalam  drama dan filem Carlos,  saya kerap mendapat tawaran berlakon dengan watak-watak protagonis sahaja. Bukan saya sudah tak mahu watak jahat, tetapi tak ditawarkan oleh pengarah.

“Dalam tawaran berlakon, saya tak kisah watak baik atau jahat, saya suka dicabar berlakon dalam pelbagai watak. Tak demanding asalkan skrip atau jalan ceritanya menarik dan mencabar,” akuinya.  

Terbaharu, Zahiril muncul menerusi filem Kron lakonan bersama pelakon Dayana Roza. Membawakan watak Sham yang mengikuti Profesor Daud (lakonan Aman Graseka) menjejaki laluan Raja Siam era pemberian bunga emas, menurut Zahiril ia pengalaman pertamanya mendaki Gunung Pulai.

 “Pengalaman berada di puncak, menikmati keindahan ciptaan Allah membuatkan saya mula minat dengan aktiviti mendaki gunung.

“Selain itu, saya sudah  mendaki kawasan pergunungan berdekatan Cameron Highlands. Boleh dikatakan saya minat aktiviti mendaki selain berlakon.

 “Malah turut diajak menjejaki Everest Base Camp (EBC) dalam masa terdekat. Apapun saya menolak dengan memberi laluan kepada rakan artis, Azhan Rani sebab sibuk dengan perkara lain. Mungkin lain kali saya akan ke sana,” ceritanya.  

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.