Zul Ariffin Tidak Impi Perkahwinan Gah!

Mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang wanita pilihan hatinya, bintang filem J Revolusi ini tidak memasang impian untuk mengadakan sebuah perkahwinan gah yang sesuai dengan gelaran selebriti yang disandang. 

“Saya sendiri tak sabar nak kahwin. Tetapi tanggapan orang terhadap perkahwinan selebriti yang perlu tampak meriah dan sebagainya, tidak akan saya penuhi. Tiada majlis gilang-gemilang pada hari bahagia saya, cukup sekadar mendahulukan mana yang lebih penting, itu lebih baik.

“Mestilah saya akan umumkan tentang berita gembira itu (kahwin). Cuma maaf, tiada sidang akhbar diadakan.

“Saya juga tidak akan berkahwin secara rahsia kerana pada saya alam perkahwinan itu satu hal yang cukup indah untuk dikongsi kepada semua,” katanya.

Sudah lama bersedia untuk menjalani ibadah berumah tangga, menurut Zul impiannya sering tertangguh dek kerana terlalu fokus soal kerja dan lakonan.

 “Saya memikirkan untuk berkahwin selewat-lewatnya penghujung tahun depan. Cuma disebabkan banyak perkara yang perlu saya lakukan, fokus ke arah itu tertangguh sekejap.

“Sejujurnya, niat untuk berumah tangga itu memang dah lama saya fikirkan sejak dulu lagi. Ya, sudah tentu saya akan berkahwin. Saya boleh kahwin bila-bila masa sahaja yang saya mahu,”jelasnya.

Tanpa  memperincikan siapa gerangan wanita pilihan hatinya itu, gadis yang berjaya menawan hatinya itu bukan dalam kalangan selebriti dan bukan beragama Islam.

“Saya nak halalkan hubungan dan terus kahwin. Buat masa ini, saya mahu bakal isteri saya itu mengenali lebih dekat agama Islam secara lebih mendalam.

“Institusi sesebuah perkahwinan itu tidak memberi sebarang tekanan pada saya secara peribadi. Malah, saya juga tak rasa ia satu bebanan yang perlu digalas. Secara jujur saya katakan, selepas berkahwin, di situ bermulanya tanggungjawab seorang lelaki,” katanya lagi.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.