Betul ke Popcorn Boleh Sebabkan Kanser?

Popcorn adalah menu paling popular di kaunter makanan pawagam-pawagam seluruh dunia. Siapa sahaja yang tidak menyukai mengunyah bertih jagung atau ‘popcorn’ sambil menonton panggung wayang, bukan?

Tanpa popcorn, pengalaman menonton wayang dirasakan tidak sempurna. Pun begitu, ada pendapat yang mengatakan bahawa ia boleh menyebabkan kanser. Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?

Menurut entri laman sesawang www.hellodoktor.com, sebenarnya, bukan jagung yang merupakan bahan utama dalam pembuatan ‘popcorn’ yang menjadi punca penyakit kronik seperti kanser ini berlaku.

Hakikatnya, bahan kimia perfluorinated (PFC) yang terkandung di dalam resepi pembuatan snek ini yang merupakan punca utamanya.

Kebanyakan ahli perubatan berpendapat bahawa ketika bahan kimia ini yang telah dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro, PFC akan terurai menjadi asid perfluorooctanoic (PFOA).

Asid ini kemudiannya akan memasuki aliran darah dalam tubuh badan sehingga ia menjadi punca pertumbuhan dan pengembangan sel-sel kanser dalam tubuh badan.

Para pengkaji dari C8 Science Panel pula mencuba mencari kebenaran antara hubungan PFOA ini dengan risiko kanser atau pelbagai penyakit lain. Mereka menggunakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Virginia, Amerika Syarikat dengan mengkaji kesan pendedahan PFOA terhadap kesihatan mereka.

Hasilnya, pendedahan jangka panjang PFOA ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang ketara bagi kes kanser testis dan kanser ginjal bagi populasi individu yang mendiami kawasan tersebut.

Antara penelitian yang lain adalah PFOA yang terdapat dalam ‘popcorn’ sebenarnya adalah lebih berbahaya jika ia telah dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro berbanding yang tidak dipanaskan di dalamnya.

Walaubagaimanapun, anda tidak perlu terlalu risau kerana popcorn masih boleh dimakan kerana kebenaran PFOA ini masih memerlukan banyak lagi kajian yang lain untuk mengukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa ia adalah berbahaya dan boleh mengakibatkan kanser.

Ini bermakna anda masih boleh menikmati popcorn asalkan ia tidak mengandungi PFC dan PFOA ini. Oleh itu, sebagai pengguna, cuba kenali produk-produk ‘popcorn’ yang anda ingin beli dan makan terlebih dahulu.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.