Cinta Madu & Racun : WhatsApp Group Sekolah Punca Suami Mahu Kahwin Lagi

Siapa sangka dalam pada mencari semula sahabat-sahabat dari zaman persekolahan mampu memberi impak negatif  terhadap rumahtangga yang telah puluhan tahun terbina.

Seorang sahabat Sis mengadu suaminya yang sakit dan menggunakan kerusi roda mahu berkahwin lagi. Apa lagi, mengamuklah sahabat Sis apabila mendapat tahu!

Masalah :

Kisah bermula apabila si suami menghadiri majlis ‘alumni sekolah’. Orang ketiga mula menghubungi si suami melalui WhatsApp group sekolah. Mula-mula tanya khabar, lama-lama dia nak ‘sambar’ suami empunya badan.

Sakit sungguh hati si isteri. Seluruh keluarga sudah tahu tapi disebabkan si isteri bukan menantu kesayangan keluarga, ibu mertua seakan menyokong pula. Buntu si isteri kerana tidak tau nak buat apa!

Nasihat kepada masalah :

Ya Allah berat sungguh dugaan mu sis. Seperti biasa yang ESA tu lah yang paling berkuasa. Jangan sesekali berhenti memohon padaNYA ya sis. Sayang jika ikatan cinta kalian yang termeterai puluhan tahun lerai begitu sahaja. Sabar dan usaha untuk selamatkan ya.

Sedikit panduan dan tips yang sis boleh cuba :

1) Guna anak-anak untuk berbincang dan memberi pendapat. Bukan memberi nasihat tetapi memberi pendapat.

Ini kerana anak-anak sis semuanya sudah dewasa dan ada juga yang sudah berumah tangga. Beri anak panduan fakta yang sis rasakan sis dan suami perlu tahu.

Contohnya :

a) Faktor usia dan kesihatan suami yang sudah berkerusi roda.

b) Faktor idola dan contoh keluarga bahagia untuk panduan anak menantu.

c) Faktor kemampuan memberi nafkah untuk keluarga baru (jika berkahwin) sedangkan wang simpanan suami perlu digunakan untuk tujuan perbelanjaan ubat dan sara diri.

2) Kembalikan kemesraan kalian walaupun penat mencari rezeki dan menguruskan rumahtangga. Mungkin boleh mulakan dengan menghantar Whatsapp lagu-lagu nostalgia kalian ketika bercinta dahulu.

Mungkin suami yang sakit dan berkerusi roda berasa sunyi di rumah. Cubalah untuk ‘curi masa’ di pejabat dengan menghubungi suami ya.

3) Cipta semula saat ‘dating’ bersama. Panggung wayang pun boleh bawa pesakit berkerusi roda ya. Tempah tiket wayang dan pergi menonton bersama. Hujung minggu minum teh di Cameron Highland juga sebenarnya menceriakan selain mengimbau kembali saat bercinta dahulu.

4) Gajikan orang untuk mengemas rumah. Luangkan masa bersama suami yang sakit seperti sarapan bersama sebelum ke pejabat. Walaupun minum kopi secawan dan hanya setengah jam, sebenarnya mampu membuatkan kalian tersenyum ceria.

5) Buat kejutan untuk suami dengan sepotong kek atau setangkai bunga pun romantik jua. Biarlah anak-anak nak mengusik. Usik mengusik tu kan ‘senjata’ penambat cinta.

6) Jangan sesekali ungkit apa sahaja pengorbanan mahupun hal orang ketiga. Kalau boleh biarkan semua yang tidak baik dan negatif terkubur dan tidak lagi mahu dikenang.

Semoga tip di atas sedikit sebanyak dapat memberi nafas baru dalam meneruskan sisa hidup bersama suami tersayang.

Jangan biarkan saat manis kalian terkubur begitu sahaja. Usaha, doa dan tawakkal. Insyaallah Allah S.W.T akan sentiasa membantu umatNYA yang sentiasa memohon dan mengingatiNYA.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.