Intan Najuwa Jadi Pembantu Rumah Dalam Drama Tuan Danial

Sudahkan anda mengikuti drama terbaru di Slot Lestary TV3? Bagi yang tertinggal mengikuti episod-episod awal drama ini, ia mengisahkan tentang cinta yang cuba diatur oleh keluarga Tengku Ismahanim (Intan Najuwa) dengan jejaka yang tidak dikenali bernama Danial (Idris Khan).

Untuk mengenali Danial secara lebih dekat, Tengku Ismahani telah menyamar sebagai pembantu rumah. Bagaimanapun, Danial bukan lelaki pertama yang membuatkan Tengku Ismahanim atau Is, menyamar sebagai pembantu rumah. 

Penyamaran Is ini adalah untuk menyiasat latar belakang dan sikap sebenar bakal-bakal suami yang dicadangkan oleh bapanya, Tengku Khalil namun semua calon itu tidak berjaya memikat hati Is sehinggalah Is menyamar menjadi pembantu rumah milik keluarga Tuan Danial. 

Berlainan dengan lelaki-lelaki sebelumnya, walaupun kelihatan agak sombong dan tegas Is tertarik dengan Tuan Danial yang tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah.

Berlaku pelbagai insiden melucukan di antara mereka berdua. Biarpun Is sering mengingkari arahan Tuan Danial, tetapi lama kelamaan Tuan Danial mula lembut hati dan tertarik dengan sikap Is.

Tengku Hatta, adik Is turut terlibat sama dalam rancangannya iaitu berpura-pura mesra untuk membuatkan Tuan Danial cemburu melihat hubungan mesra mereka.

Kehadiran Nell (Atikah Suhaime), bekas tunang Tuan Danial yang kembali dari luar negara memburukkan keadaan. Nell kelihatan cuba untuk meraih kembali cinta Tuan Danial. Pelbagai agenda cuba dilakukan oleh Nell cuba untuk menawan Tuan Danial, termasuklah mengugut untuk membunuh diri supaya Tuan Danial bersimpati kepadanya.

Bukan Is sahaja mempunyai saingan, Tuan Danial juga tergugat oleh kehadiran Rizal (Luqman Hafidz), jiran sebelah rumahnya yang obses untuk memiliki Is.

Adakah cinta di antara Is dan Tuan Danial bakal bersatu dengan kehadiran Nell dan Rizal? Jangan lupa untuk ikuti Tuan Danial pada setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9.00, hanya di TV3.

Drama adaptasi novel oleh Azizah Ami turut membariskan Luqman Hafidz, Atikah Suhaime, Aman Graseka, Mathni Razak, Syafi Tee DFKL, Afifah Nasir, Noniswara dan juga Zuhairi Ibrahim. 

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.