Faizal Tahir Abadikan Rojak di Kota Kuala Lumpur

Sempena pelancaran album terbaru dan terahirnya yang berjudul ROJAK, Faizal Tahir telah mengabadikan sebuah lukisan mural di dinding bangunan berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Lukisan mural yang ditandatangani oleh Faizal itu telah dilukis oleh pelukis terkenal iaitu Katun atau nama sebenarnya Ab Hafiz Bin Ab Rahman.

Dalam satu kenyataan media, Faizal memberitahu, idea untuk mengabadikan mural itu datangnya daripada Warner Music Malaysia, selaku pengedar sah untuk album Rojak.

Jelas Faizal lagi, ada mesej yang ingin disampaikan di sebalik lukisan mural itu dan baginya, satu hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong sepanjang kerjaya seninya berlangsung.

“Seperti yang saya terangkan sebelum ini, Rojak itu sendiri pun seperti simbolik untuk masyarakat majmuk di Malaysia dan daripada lukisan itu, saya sampaikan mesej yang sama,” katanya.

Sebagaimana namanya, ROJAK yang juga merupakan album kelima Faizal Tahir ini menawarkan aneka sajian muzik dari pelbagai genre berlainan.

Album ini memuatkan 9 buah lagu dan antara yang pernah dikeluarkan sebelum ini adalah seperti ‘Ragaman’, ‘Bisa Aja’, ‘Starfeather’ dan yang paling baru ‘Ratu’.

Sebagai bonus buat peminat, album “ROJAK” turut memuatkan tiga lagu baharu berjudul ‘Kamu’, ‘Until We Meet Again’ dan lagu runut bunyi untuk filem animasi BoBoiBoy Movie 2 terbitan Animonsta Studios yang berjudul ‘Fire & Water’.

Album ROJAK diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Faizal Tahir sendiri iaitu Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar.

Album fizikal dalam bentuk CD boleh dibeli di kedai-kedai seluruh negara manakala versi digital boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.