Dr. Irma Menulis : Tip Penjagaan Gigi Untuk Jemaah Haji

Apabila berada di Tanah Suci, walaupun sibuk dengan ibadah, penjagaan kebersihan gigi adalah amat penting.

Dalam Islam, kebersihan adalah satu aspek yang mesti dijaga sama ada untuk beribadat atau selainnya.

Daripada Ali bin Abi Talib daripada Nabi s.a.w : ” Kunci solat ialah bersuci, tahrimnya ialah takbiratulihram dan tahlilnya ialah memberi salam” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam sangat menitikberatkan kebersihan sebagai salah satu syarat diterima solat selain meletakkannya sebagai suatu nilai yang tinggi dalam Islam.

Sebagaimana pentingnya harta yang halal dalam Islam maka begitulah juga pentingnya kebersihan dalam ibadat.

Amalkan penjagaan kebersihan gigi seharian yang baik seperti memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berflourida dan saya sarankan yang ada pudina supaya nafas lebih segar agar selesa untuk berbual dengan Jemaah lain.

Berus juga kawasan lidah kerana plak yang melekat pada permukaan lidah boleh menyebabkan bau mulut.

Flos gigi setiap kali selepas makan dan jika terdapat sisa makanan yang melekat di celah gigi bagi mengelakkan gusi bengkak dan berdarah serta gigi berlubang.

Ubat kumur juga digalakkan ditambah dalam rutin penjagaan mulut seharian kerana ia boleh memberikan nafas yang segar.

Kebanyakan ubat kumur ditambah dengan agent antibakteria yang membunuh kuman punca mulut berbau. Ianya  boleh digunakan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Pastikan berus gigi diperbuat daripada bulu berus yang halus untuk mengelakkan gigi haus dan mengalami gigi sensitif yang mungkin boleh mengganggu ibadah anda.

Ubat gigi juga harus sesuai. Saya kuat mencadangkan anda membawa ubat gigi yang anda gunakan setiap hari di tanahair untuk mengelakkan rasa tidak selesa dan ketidaksesuaian ubat gigi baru kerana formulanya berbeza terutama bagi mereka yang mempunyai masalah gigi sensitif.

Pengambilan vitamin C juga membantu mengekalkan gusi yang sihat selain menghindar daripada masalah kesihatan lain seperti demam, selesema atau keletihan.

Amalkan pemakanan yang sihat, serta pengambilan air kosong yang mencukupi malahan jemaah amat beruntung dapat meneguk air zam-zam untuk menghilangkan dahaga.

Demikian sedikit sebanyak tips yang saya boleh kongsi semoga memberi manfaat pada bakal-bakal jemaah.

Doa saya semoga anda semua selamat sampai ke Tanah Suci, dapat menjalankan ibadah dengan khusyuk, sempurna dan lancar, serta selamat sampai ke tanahair di pangkuan keluarga masing-masing dengan haji yang mabrur. 

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.