Faizal Tahir Mahu Berhenti Menyanyi?

Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir menafikan desas-desus yang mendakwa dia mahu berhenti menyanyi.

Spekulasi ini bertebaran ketika Faizal membuat hebahan mengenai album terakhirnya yang berjudul Rojak dan ada pihak yang menganggap pelantun lagu ‘Bisa Aja’ ini mahu berhenti menyanyi.

“Saya hanya membuat pengumuman mengenai album terakhir sahaja. Saya tak mahu berhenti menyanyi pun.”

“Mungkin selepas ini saya mahu kurangkan menyanyi sahaja dan menumpukan perhatian terhadap kerja belakang tabir dan keluarga, tetapi saya masih mahu menyanyi dan sayangkan industri muzik.”

“Muzik sudah menjadi sesuatu yang saya gemari, malah ia ibarat darah daging. Tak mungkin saya mahu berhenti menyanyi,” ulas Faizal.

Tambah Faizal, dia mahu berhenti menghasilkan album fizikal disebabkan keadaan muzik semasa yang lebih kini beralih kepada dunia digital.

“Rojak merupakan album fizikal terakhir daripada saya. Melihat kepada perkembangan muzik zaman sekarang, penghasilan album penuh tidak mendapat pulangan setimpal.

“Peralihan arus muzik ke dunia digital juga membuatkan saya memikirkan mengenai perkara ini.

“Semua tahu mengenai perkara ini dan faham dengan kesukaran yang dihadapi oleh pengkarya muzik untuk menghasilkan album fizikal,” katanya.

Album Rojak menampilkan sembilan lagu termasuklah Ragaman, Ratu, Kamu dan banyak lagi.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.