Dr. Irma Menulis : Apa Kaitan Flos Gigi Dan Penyakit Jantung

Berlalu sudah Ramadan dan Syawal juga perlahan-lahan meninggalkan kita. Saya pasti semua pembaca telah kembali kepada rutin harian norma dan juga kembali ke tugasan hakiki.

Namun, memori menjamah rendang daging, lodeh dan ketupat bersama sahabat handai dan keluarga masih kuat di ingatan.

Ramai juga yang menggunakan alasan cheat day, off diet, hari raya setahun sekali, memang kenalah makan sepuasnya, malah saya sendiri menggunakan alasan tersebut.

Makanan yang tinggi kandungan minyak, santan, gula dan garam apabila diambil dalam kadar yang banyak dan tidak terkawal akan menyebabkan terpanggilnya masalah seperti penyakit jantung, diabetes darah tinggi dan obesiti.

Kita sedia maklum dan telah diberikan informasi bahawa pemakanan dan cara hidup adalah punca utama datangnya penyakit di atas terutamanya penyakit jantung dan spesifiknya penyakit jantung koronari di mana saluran arteri jantung mengecil dan tersumbat akibat deposit plak dan pengenduran arteri itu sendiri.

Saya bukan ingin bercerita mengenai penyakit jantung kerana saya bukan pakar dalam bidang terbabit, namun terpanggil untuk cerita berkaitan tajuk di atas – ‘Tidak Flos Gigi Menjadi Penyebab Penyakit Jantung’.

Benarkah pernyataan itu, atau ia hanya omongan kosong?

Flos adalah salah satu alat berupa tali nipis yang digunakan untuk membersihkan plak dan menarik sisa makanan yang tersangkut di celah gigi dan di bawah gusi.

Doktor gigi menyarankan penggunaan flos paling tidak sekali sehari pada waktu malam untuk memastikan gigi bersih secara menyeluruh.

Flos boleh digunakan sebelum atau selepas memberus gigi, tapi pilihan peribadi saya adalah aturan flos, memberus gigi dan menggunakan ubat kumur sebagai pelengkap rutin sebelum tidur. 

Adalah menjadi kewajipan setiap individu menjaga kebersihan gigi daripada plak dan makanan setiap hari untuk mengekalkan gusi dan gigi yang sihat.

Plak yang mana kandungan utamanya adalah bakteria, yang terkumpul pada permukaan gigi dan bawah gusi akan menyebabkan gusi terinflamasi yang dicirikan dengan gusi yang merah, membesar dan bengkak, senang berdarah, mungkin bernanah dan berbau busuk.

Lazimnya masalah gusi ini adalah masalah setempat dan tidak merebak ke organ lain dalam tubuh kerana bakteria yang berkolonisasi di dalam plak adalah bakteria umum di dalam mulut iaitu S Mutans.

Namun, dalam keadaan pesakit yang memang sedia ada mempunyai masalah jantung dan imunisasi terkompromi iaitu penyakit jantung reumatik, penyakit jantung kongenital, injap jantung palsu, pesakit haemodialisis, perentak jantung digital dan juga penagih dadah intravena, terdapat risiko di mana bakteria S Mutans yang banyak berkumpul akan masuk ke salur darah, menuju ke lapisan dalam jantung terutamanya injap jantung dan menyebabkan Infective Endokarditis.

Penyakit ini dicirikan dengan demam, penat teramat, pendarahan dalam kulit dan bunyi ‘murmur’ pada jantung seterusnya boleh mengalami komplikasi kegagalan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.

Kepada pesakit-pesakit yang saya sebutkan di atas, adalah penting untuk mereka menjaga kesihatan mulut dan kebersihan oral dengan optimum untuk mengelakkan komplikasi bakterimia yang berpunca dari oral kaviti ke salur darah.

Datanglah berjumpa doktor gigi setiap tiga hingga enam bulan untuk pemeriksaan dan rawatan gigi susulan dan segalanya akan dijalankan di bawah pengawasan rapi serta dengan lindungan profilaksis antibiotik sebelum dan selepas rawatan untuk mengurangkan risiko Infective Endocarditis.

Kesimpulannya, penjagaan kebersihan gigi adalah amat penting dan lebih kritikal pada mereka yang memang ada penyakit yang sebutkan di atas.

Tahi gigi atau plak bukan penyebab penyakit jantung, tetapi pada pesakit yang memang ada masalah jantung, rentetan daripada kurang cakna pada kebersihan gigi mungkin menjadi penyebab kepada komplikasi yang tidak diingini.

Jadi, nasihat saya mudah. Berus gigi dua kali sehari, dan flos setiap hari dengan teliti adalah rutin mudah dan tidak mengambil masa yang lama, untuk mengelakkan masalah dan kemungkinan risiko penyakit lain menyinggah.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.