Dr.Irma Menulis : Tip Elak Mulut Berbau Ketika Puasa

Bau mulut sering dikaitkan dengan orang yang berpuasa. Sebenarnya bau mulut adalah masalah umum yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang mengawal pemakanan, mengubah waktu makan dan mengamalkan diet tertentu bukan hanya pada mereka yang berpuasa.

Ingin saya jelaskan dahulu, fungsi air liur di dalam mulut kita. Selain mengandungi enzim pencernaan untuk menghadamkan makanan yang dkunyah, air liur yang mengalir dan dalam kuantiti yang mencukupi berfungsi sebagai pembilas dan pencuci rongga mulut. Ia juga bertindak sebagai buffer untuk meneutralisasikan ph dalam mulut.

Dalam keadaan berpuasa dan tidak mengambil makanan dalam jangkawaktu yang lama, aliran air liur kita akan berkurangan kerana tiada mekanisme mengunyah dan juga kurang bercakap semasa berpuasa kerana letih.

Dalam keadaan ini, mulut dan mukosa mulut akan menjadi kering, ph dalam mulut akan lebih berasid menyebabkan sisa makanan tidak dibersihkan dengan sempurna pada gigi menjadi sumber makanan bakteria di dalam mulut.

Bakteria tersebut pula akan mengeluarkan ‘volatile sulfur compound’ yang memberikan bau busuk pada nafas. Bau sulfur adalah seakan-akan bau belerang atau peledak peluru. Dalam keadaan berpuasa di mana kita juga tidak boleh minum sepanjang hari, bau sulfur ini akan menjadi lebih prominen.

Berikut tips mengelak masalah mulut berbau.

1. Elak pengambilan kafien dan makanan pedas sewaktu bersahur kerana ia membuatkan mulut menjadi kering.

2. Hindari makanan yang boleh menyebabkan bau mulut seperti bawang, rempah, petai, jering dan makanan bergula tinggi.

3. Berus gigi dan gunakan flos bagi membuang bakteria dan juga lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup. Ambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga minit untuk membersihkan mulut anda.

4. Gosok bahagian lidah agar bakteria yang terkumpul di lidah berjaya dihapuskan. 4. Berkumur dengan air supaya mulut anda tidak kering dan amalan ini boleh dilakukan setiap kali anda mengambil wuduk.

5. Anda juga boleh menggunakan ubat kumur untuk mendapatkan nafas yang lebih segar. Namun, jangan menggunakan ubat kumur  yang mengandungi alkohol kerana ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut.

6. Minum air 2 liter setiap hari untuk mengelakkan masalah mulut berbau.

7. Makan buah-buahan dan sayuran juga mampu membantu melawan bau mulut. Antara buah yang disarankan ialah epal, pisang, tembikai, pir, teh hijau dan daun pudina.

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.