Dr.Irma Menulis : Penjagaan Gigi di Bulan Puasa

Penjagaan gigi yang sempurna dan optimum harus diamalkan walaupun ketika menjalani ibadah puasa. Penjagaan kebersihan gigi dan mulut di rumah seperti memberus gigi dua kali sehari ataupun tiga kali sehari di waktu tengah hari apabila mulut berasa tidak selesa dan mula berbau, flos gigi sesudah berbuka, moreh dan sahur serta mengamalkan ubat kumur adalah sangat membantu mengawal bau mulut semasa berpuasa.

Pilihlah berus gigi yang sesuai, saya suka menyarankan berus gigi berbulu lembut, halus dan runcing untuk membersihkan lurah gusi dan celahan gigi dengan sempurna.

Gunakan ubat gigi berflourida untuk mengelakkan gigi berlubang dan yang mempunyai bau segar seperti pudina untuk memberi bau harum dalam mulut.

Flos gigi juga penting untuk membersihkan makanan kenyal yang terselit di celah-celah gigi seperti daging ayam dan lembu yang berserat serta plak yang melekat pada dinding gigi.

Pilihlah flos yang diselaputi lilin agar lebih licin dan mudah dimasukkan di antara celah gigi, malah ada juga flos yang disalut perisa pudina agar nafas lebih segar.

Pemilihan ubat kumur juga penting. Dalam bulan puasa di kala aliran air liur berkurangan dan mulut menjadi kering, adalah dinasihatkan memilih ubat kumur tanpa alkohol kerana alkohol boleh menyebabkan mukosa mulut menjadi lebih kering.

Pilihlah ubat kumur antibakteria yang mempunyai pudina untuk memberi kesegaran nafas dan mulut serta berkumurlah tiga kali sehari supaya nafas sentiasa harum.

Penjagaan gigi profesional juga penting. Ramai yang tidak mahu ke klinik gigi kerana tidak mahu ibadah puasa mereka terganggu. Merujuk kepada keputusan Persidangan Akademi Fiqah Islam Antarabangsa beberapa tahun lalu, persidangan tersebut telah memutuskan kaedah pergigian berikut tidak akan membatalkan puasa.

Rawatan menampal dan mencabut gigi tidak membatalkan puasa

Ianya adalah pemeriksaan gigi, rawatan gigi seperti tampalan, cuci gigi, rawatan akar, mengambil gambar x-ray di dalam mulut, suntikan ubat kebas di dalam mulut serta mencabut gigi.

Justeru itu, adalah disarankan anda melakukan pemeriksaan gigi dan rawatan gigi seperti biasa dalam bulan puasa. Jangan kerana berpuasa anda biarkan lubang pada gigi tidak ditampal sehingga menjadi lebih parah dan gigi tidak dicuci hingga berlakunya gingivitis (bengkak gusi) dan periodontitis (penyakit tulang gigi).

Jika keadaan gigi terlalu parah, dan gigi terpaksa dicabut, anda masih boleh meneruskan ibadah puasa. Mungkin minta temujanji dengan doktor gigi anda di sebelah petang supaya ubat bius masih meninggalkan rasa kebas hingga waktu berbuka agar anda boleh mengambil ubat tahan sakit setelah berbuka puasa.

Sementara itu, boleh legakan kesakitan dengan menuam kain direndam dengan air dingin atau ais ke kawasan pipi berhampiran tempat gigi yang dicabut.

Selamat mengamalkan ibadah puasa!

Share Now:
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.